Jun 17, 2011

Masih adakah cahaya?

selawat dan salam atas kalian dariku pencintamu...







assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh. salam sejahtera di ucapkan kepada makhluk sekalian alam. salam sejahtera ke atas roh, baik di alam jabarut, di alam malakut, di alam nyata, mahupun di alam barzakh. salam sejahtera ke atas malaikat, jin dan manusia. segala puji bagi tuhan, pemilik segala wujud, yang dengan kekuasaannya, tidaklah ia bersusah payah dalam penciptaan hamba-hambanya, melainkan 'qun'. maha suci tuhan yang dengan kebijaksanaannya tiada suatu makhluk pun yang teraniaya di dalam penciptaan. maha suci tuhan yang mencukupkan makhluknya sesuai dengan kadarnya, melainkan mereka yang dipesong syaitan dan nafsu.





bersiaran dari rumah. malam ni dinner extravagant sket. ade kari kambing, rendang ayam, asparagus, kangkung goreng belacan, dan kuah rasam. sume beli, kecuali asparagus dan kangkung goreng belacan. fuh, kari kambing die memang merdu wa cakap lu. berdendang tekak mase kambing tu lalu kat tenggorok gua. tak tau la macam mane mamak kat Maha Maju tu masak kambing, sedap die laen macam. mulai arini, aku dah tak bole bersiaran dari opis lagi. admin da blog sume bende, blog, fesbuk, portal universiti, sume bende la. rase nak ngadu kat anonymous pon ade gak, bior digodamnye network admin tu.




entry ni adalah entry yang terakhir tentang islam, sebelum aku masuk bab agama lain. pada post-post yang telah lepas, kita dah membincangkan tentang pengertian islam, aspek2 utama dalam islam, puak2 dalam islam, krisis terbesar dalam islam dan mitos2 yang menjadi hindrance untuk puak-puak ini bersatu. sekarang aku nak membincangkan tentang perbezaan sebenar di antara sunni dan syiah. untuk pengetahuan semua, satu-satunya persoalan yang menjadi punca perselisihan di dalam sunni dan syiah adalah mengenai soal imamah dan khilafah. sunni mendakwa, selepas kewafatan muhammad, persoalan mengenai penjaga agama dan penjaga ummat islam telah diserahkan kepada ummat untuk membuat keputusannya. hal ini berikutan tiada bukti jelas bahawa baginda rasul s.a.a.w melantik sesiapa sebagai penggantinya. lantas, melalui demokrasi, penjaga agama (imam) dan penjaga ummat (khalifah) dipilih bagi meneruskan perjuangan yang diteruskan oleh rasul s.a.a.w. soal kepimpinan adalah soal yang sangat penting, kerana ummat tidak boleh dibiarkan kosong tanpa seorang pemimpin di dalamnya.






walau bagaimanapun, menurut syiah, sedangkan kita sebagai ummatnya saja sudah mengerti akan kepentingan kepimpinan, masakan rasul s.a.a.w yang maksum tidak menyedarinya? hakikatnya rasul s.a.a.w menyedari akan kepentingan kepimpinan selepasnya, dan telah, secara jelas dan berkias, melantik menantu baginda, Ali ibn Abi Thalib sebagai wasinya selepas kewafatan baginda, dan kepimpinan Ali telah termaktub di dalam al-quran dan hadith2.







masalah-masalah



1) masalah dalam penakwilan




antara masalah utama yang menjadi perselisihan ulama sunni dan syiah ialah masalah menakwilkan sumber-sumber yang ada, baik al-quran, hadis mahupun catitan sejarah. penakwilan yang berbeza ini disebabkan pandangan awal yang berbeza di kalangan ulama sunni dan syiah. ulama sunni mendakwa, para sahabat yang bersama-sama baginda menyebarkan islam, menghadapi susah senang menegakkan syiar islam, membantu nabi di dalam perang, mengorbankan harta mereka di jalan allah, insan seperti ini tidak mungkin mengkhianati nabi, meskipun mereka ini tidak maksum. sementara menurut ulama syiah pula, mereka yang tidak maksum, tidak kira sebaik mana sekalipun, mempunyai potensi untuk melakukan kesilapan. pra andaian inilah yang telah membentuk corak pemikiran para ulama sunni dan syiah, seterusnya memberi kesan kepada penakwilan mereka terhadap al-quran dan hadis serta catitan sejarah.




2) isu tidak boleh dikompromi




perkara kedua yang menjadi masalah dalam membincangkan isu sunni dan syiah adalah berkenaan dengan isu itu sendiri sebenarnya, iaitu khilafah dan imamah. isu yang menjadi perselisihan ini adalah isu yang sangat sensitif, baik di pihak sunni mahupun syiah. bagi golongan sunni, bersetuju dengan pandangan syiah membawa maksud penolakan secara total terhadap ajaran mereka, kerana ahlussunnah mendakwa ajaran mereka diambil secara turun temurun daripada rasul s.a.a.w kepada para sahabat, dan dari para sahabat kepada tabiin, itba' at-tabiin, para ulama seterusnya kepada umat sunni seluruhnya. sementara menurut pandangan syiah pula, bersetuju dengan para sahabat bermaksud berkompromi dengan orang-orang yang telah menganiaya imam, dan ini bercanggah dengan iman mereka. hal ini yang menyebabkan konflik sunni-syiah ini memakan masa selama seribu tahun, dan masih menemukan jalan buntu.





prospek penyatuan



adalah sesuatu yang jelas di mata semua, perpecahan, sejak dari dahulu lagi, telah menjadi senjata paling ampuh bagi musuh-musuh islam untuk melemahkan islam. sesungguhnya kekuatan perpaduan ummah adalah sesuatu yang paling ditakuti oleh musuh-musuh islam. sejak dari dulu lagi, mereka telah belajar melalui pengalaman mereka bertempur dengan ummat muhammad, dan mereka dapati, tidak ada musuh yang lebih kuat untuk menghancurkan mereka, melainkan ummat mereka sendiri. lalu benih-benih perpecahan disemai di dalam ummat islam. semua kumpulan islam di dunia berpegang kepada hadis rasul s.a.a.w, "ummat ku akan berpecah kepada 73 firqah, hanya satu yang ke syurga". semua pihak mengaku merekalah firqah yang terpilih. akan tetapi sedarkah mereka, walaupun hanya satu yang akan ke syurga, rasul s.a.a.w tetap memanggil kesemua firqah tersebut sebagai 'umatku'? tidak cukupkah hadis ini untuk memberhentikan kita daripada saling kafir mengkafir, sesat menyesat, dan hancur menghancurkan? pilihlah jalan mana yang ingin kita pilih, serahkan kepada Allah untuk menentukan pemenangnya di akhirat, akan tetapi semasa kita masih di dunia ini, bukanlah suatu suruhan dari illahi untuk kita mengkafirkan, menyesatkan, menghancurkan, saling membunuh dan menafikan hak2 firqah yang lain untuk hidup. tiada siapa yang tahu dengan absolute tentang firwah yang dimaksudkan oleh rasul s.a.a.w. sunni mengatakan mereka yang layak, syiah mengatakan mereka yang layak, zahiri mengatakan mereka yang layak, dan ibadi juga mengatakan mereka yang layak. lantas yang mana satu yang benar? inilah poin penting yang cuba aku tegaskan di dalam artikel ini. hentikan.hentikan segala usaha dan kegiatan untuk membenarkan firqah sendiri dan menyerang firqah lain. Allah s.w.t memerintahkan rasul s.a.a.w untuk menyampaikan islam, dan bukan mazhab. dan tidak kira sehebat manapun sesuatu firqah, tidak ada yang berani menukar status mazhab mereka kepada agama. mengapa? kerana jauh di sudut hati mereka. mereka sedar bahawa sekuat mana pun mereka mempertahankan mazhab mereka, mazhab tetap mazhab, ia adalah aliran pemikiran dalam agama, dan akan terus kekal sebagai aliran pemikiran, dan bukan tiang agama itu sendiri. lantas di mana islam? islam terletak pada pengertian "la ilaha ila allah muhammadur rasulullah" sesiapa yang beriktiqad dengan kalimat ini, tidak menunjukkan penentangan terhadap maksud kalimah ini, tidak menunjukkan penghinaan terhadap maksud kalimah ini, maka dia muslim. tidak kira sama ada sunni mahupun syiah, ibadi mahupun zahiri, semuanya muslim. persoalan mukmin, serahkan saja kepada allah dan rasul untuk menentukan di hari kebangkitan kelak.

kembalikan kegemilangan islam melalui sinar perpaduan ummah.






penyelesaian



dewasa ini, agama islam tidak lebih hanyalah lumpur yang hina. agama islam dilayan seperti sampah. semua atribut-atribut yang buruk dinisbahkan kepada islam. umat dipijak di sana sini. bukan islam di momokkan dengan islam. islam menjadi igauan ngeri bagi kejiranan yang inginkan keamanan. islam itu teror. islam itu ganas. islam itu bom. andai disuruh seorang non muslim di barat memejam mata dan membayangkan islam di minda, bukanlah ketinggian budi bahasa yang di imaginasikan. bukan keluhuran budi pekerti yang di imaginasikan. akan tetapi apa yang dibayangkan adalah lelaki berjambang yang bengis, sedang memegang senjata dan sedia untuk berjihad. ini adalah imej islam yang berjaya diwujudkan di barat. dan tidak ada pembela yang tampil untuk membersihkan imej islam. mengapa? kerana kita sibuk membenarkan sunni dari syiah, membenarkan syiah dari sunni, membenarkan ibadi dari zahiri, dan membenarkan zahiri dari ibadi. kita sibuk dengan konflik dalaman sedangkan musuh allah sibuk merangka strategi menghancurkan ummah. lalu bagaimana cara yang terbaik menghadapi semua ini? hanya ada satu cara, iaitu mendiamkan perbezaan dan bersatu atas satu tujuan, la ilaha ila allah muhammadur rasulullah. kita tidak boleh bersatu atas nama mazhab, kerana mazhab kita jelas berbeza. akan tetapi kita menyembah Allah yang sama, kita berbaiat dengan muhammad yang sama, kita menghadap kaabah yang sama, kita dicabut nyawa oleh izrail yang sama, dan kita akan dibangkitkan di masyar yang sama. tidakkah ini cukup untuk kita mendiamkan perbalahan yang tidak akan ada kesudahan, dan fokus kepada penyatuan dan mengukuhan islami? bersatulah wahai saudaraku sunni dan syiah, bersatulah. kukuhkan benteng kita menentang musuh islam yang sebenar, iaitu zionis dan konco konconya. semoga kita dibangkitkan di akhirat kelak dengan tangan yang bersih daripada darah saudara muslim kita.




dengan berakhirnya artikel ini, maka tamatlah episod mengenai islam. diharapkan apa yang telah dikongsikan dapat memberikan kesedaran kepada seluruh muslimin dan muslimat seluruh dunia untuk bersatu atas nama islam dan menentang musuh sebenar. sekian.





























p/s: next post kita masuk bab kristian....

No comments:

Post a Comment